10 Ucapan
Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu - Prof Dr Muhaya
1. 'Saya Tidak
Tahu di Mana Nak Mula.'
Ini masalah
biasa. Jangan gelabah. Biasalah, kalau kita bingung dengan jumlah subjek yang
banyak untuk di-pelajari. Mulakan dengan menyenaraikan semua perkara yang kita
perlu tahu dan yang boleh dicari daripada sukatan pelajaran atau segala yang
diberitahu oleh pensyarah. Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang
boleh diurus. Belajar mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita
secara realistik. Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa
minit tempoh antara kuliah untuk megulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan
menangguh kerja ke saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan
tempoh minima empat jam sehari.
2. 'Banyaknya
Nak Belajar, dan Masanya Pula Sikit.'
Bijak bertindak.
Pastikan kita amalkan BTU (Baca awal, Tumpu, Ulangkaji) terhadap kuliah-kuliah
kita. Buat helaian rumusan pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini
boleh dipermudahkan dengan kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota
kuliah, tutorial, pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang
perlu disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi
penekanan oleh pensyarah dan bahagian-bahagian yang sukar difahami.
3. 'Susahnya
Subjek Ini, Saya Tak Faham Langsung!'
Bersabarlah!
Mempelajari ciptaan Tuhan yang paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi
percayalah pada pesanan saya, sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan,
ia akan memberi kepuasan dalam hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran.
Pendekatan yang baik ialah dengan berbincang dengan rakan- rakan lain dalam
kelas. Kita akan rasa lega apabila diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati
subjek itu sukar. Beranikan diri buat temu janji dengan pensyarah untuk
mendapatkan penjelasan bagi bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu
amat suka untuk membantu. Secara peribadi saya berasa amat gembira apabila
penuntut bertanya kepada saya. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih
sukar sesuatu subjek itu, lebih berguna ianya untuk masa pratikal klinikal dan
pengajian lanjutan lepas ijazah.
4. 'Saya Baca,
Saya Faham, Tetapi Saya Tak Boleh Ingat Langsung.'
Berbincanglah.
Kita akan ingat lebih baik bagi perkara-perkara yang dibincangkan secara
mendalam. Hasil penyelidikan telah menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada
apa yang kita bincangkan. Cuba kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada
kita. Semasa berbincang, cuba kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh
sendiri. Cuba salingkait subjek dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.
5. 'Agak-agaknya
Saya Faham.'
Jangan terlalu
yakin. Uji diri sendiri dengan berbincang mengenai subjek tersebut. Bina
soalan-soalan dengan rakan-rakan kita mengenai bahagian-bahagian penting dan
uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta yang ditekankan oleh pensyarah semasa
dalam kuliah. Kaji hubungkait antara setiap topik. Cuba bina soalan-soalan
peperiksaan kita sendiri untuk topik yang dibincangkan dan beri jawapan.
6. 'Banyaknya
Nak Kena Ingat.'
Susun atur
maklumat kita. Maklumat lebih mudah diingati jika dipersembahkan dalam bentuk
rangka kerja yang tersusun supaya maklumat boleh diperolehi semula dengan cara
yang sistematik. Ada banyak teknik yang dapat membantu kita menyusun atur
maklumat baru.
7. 'Baru
Sebentar Tadi Saya Ingat.'
Kaji semula.
Selepas membaca satu bahagian kaji semula dan amalkan output learning iaitu
mengeluarkan kembali fakta yang dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian
tersebut dan jawab. Jika kita tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat
yang kita tidak ingat. Lebih banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih
banyak yang boleh diingat. Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih
perlu terus belajar kerana pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang
dipelajari tidak mungkin dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih
belajar. Walau bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat
baru amat penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan
berapa lama kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi
semasa sesi belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari
boleh dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan
soalan berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka
pilihan untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.
8. 'Tapi Saya
Suka Belajar Atas Katil Saya.'
Ini tidak baik.
Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama
dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan
dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar
sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi
belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar
dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.
9. 'Saya Belajar
Lebih Baik Pada Saat-saat Akhir.'
Ini tidak benar
sama sekali. Ingatan bertambah apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang
panjang. Sudah pasti jika belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh
dirembeskan akibat tekanan yang membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga
untuk belajar. Walau bagai-manapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah
penat dan diserang gelabah terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak
yang mesti dipelajari. Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya
akan dirasai semasa peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap
sedemikian akhirnya terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa
mengulangi seluruh tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan
pengajian mereka dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya ber-banding dengan
siswazah lain. Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.
10. 'Saya Akan
Berjaga Sepanjang Malam Sehingga Saya Habis Belajar.'
Keadaan ini
kurang produktif. Perkara yang amat penting semasa ujian ialah berfikiran
cergas. Elakkan keletihan minda. Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah.
Sebelum ujian rehatkan minda kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita
sebelum peperiksaan. Makan betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan
berdoalah bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment